
Selamat Datang ke Blog Permainan Tradisional

Cara bermain batu seremban
Permainan batu seremban mempunyai cara bermainnya yang tersendiri. Seperti permainan yang lain, batu seremban juga ada peringkatnya yang digelar sebagai buah. Keseluruhannya, batu seremban mempunyai lapan peringkat yang perlu dilalui oleh pemain sebelum dikira sebagai pemenang.
Buah Satu:
*Kesemua buah hendaklah diselerakkan, dimana kedudukan semua buah tidak menyentuh antara satu sama lain.
*Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
*Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
*Proses ini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip.
Buah Dua:
*Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
*Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
*Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.
Buah Tiga:
*Buah tiga ada sedikit perbezaan.
*Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.
*Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak.
Buah Empat:
*Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
*Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang berada di lantai dengan serentak.
Buah Lima:
*Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
*Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji buah diatas lantai dengan serentak.
*Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama, empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut.
Buah Enam:
*Pada peringkat yang keenam, pemain akan mendapat sedikit perbezaan.
*Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah ibu.
*Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.
Buah Tujuh:
*Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
*Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
*Selepas itu, hanya satu biji buah yang akan dikutip.
*Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
*Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.
*Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.
Buah Lapan:
*Campakkan kelima-lima batu di atas lantai.
*Ahli yang lain pilih satu batu untuk dilambungkan ke atas.
*Pemain itu harus ambil batu ini tanpa menggerakkan batu yang lain.
*Pemain itu harus melambungkan batu itu dan mengutip batu-batu yang lain dengan sekali gus
Timbang:
*Selepas seorang pemain sudah berjaya menyelesaikan Batu Lapan, dia haruslah timbang untuk mendapat mata.
*Kelima-lima batu seremban diletakkan di atas tapak tangan.
*Semua batu seremban dilambung ke atas sambil tangan diterbalikkan.
*Batu seremban yang telah jatuh ke lantai tidak boleh dikutip semula.
*Tangkap batu seremban yang ada di tangan
Batu yang dapat ditangkap = 1 mata
Batu yang dijatuhkan = 0 mata
Selepas menimbang, pemain ulangi semuanya dan bermula dengan Batu Satu.
Tamat Permainan:
Dalam bila-bila masa pemain itu gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini, pemain ini haruslah memberikan gilirannya kepada ahli yang lain.
Jika ahlinya gagal untuk menghabiskan lapan peringkat ini, pemain itu akan kembali kepada peringkat yang tidak diselesaikan bermula daripada permulaan peringkat itu.
Sejarah dan asal usul batu seremban

Batu Seremban juga dikenali sebagai Batu Selambut atau Serembat. Permainan tradisional ini digemari oleh kanak-kanak perempuan. Ia biasanya dimain secara berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Objek-objek seperti guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain yang berbentuk bulat boleh digunakan dalam permainan ini. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Permainan batu seremban ini selalunya dimain pada waktu lapang – di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja asalkan terdapat permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk diatas lantai supaya ianya lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah lapan.
Cara bermain guli
Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.
Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.
Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.
Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.
Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.
Sejarah dan asal usul guli

Permainan guli, yang juga dinamakan sebagai Kelereng, merupakan permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak pada masa lapang mereka. Ia biasanya dimain oleh kanak-kanak lelaki yang berumur antara tujuh hingga dua belas tahun. Mereka biasanya bermain di tempat yang teduh. Guli juga, biasanya, dimain pada musim panas atau kemarau. Ini kerana pemain mengharapkan tanah kering untuk lubang yang akan digali. Apabila tanah becak, permainan guli tidak seronok kerana buah guli akan menjadi lenget.
Pada zaman dahulu, potongan-potongan kayu dibulatkan sebesar sebiji telur ayam untuk dijadikan sebuah guli. Selepas Perang Dunia Pertama, guli dibuat dari bahan kapur yang diadun dengan simen. Ia sebesar ibu jari kaki. Sekarang, guli diperbuat dari bahan-bahan kaca dengan ukuran yang pelbagai saiz, dari ukuran jari kaki kelingking hingga ibu jari kaki.
Guli dimainkan secara melontarkan guli dengan tepat dengan mengenakan sasarannya. Jumlah pemain pula tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menjadi gelanggang bermain guli. Guli yang digunakan sekarang diperbuat daripada kaca.
Gelanggang:
Satu bulatan dilukiskan di atas tanah yang berukuran garis pusat 1m.
Sebuah lubang sebesar 10sm, lebar dan sedalam 7sm dilekukkan di tengah-tengah bulatan.
Tanah dilekukkan dengan menghentakkan tumit kaki ke tanah.
Lubang tersebut dinamakan lubang induk.
Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m daripada bulatan besar tersebut.
Garisan ini adalah penanda mula tempat permainan.
Cara bermain sepak raga
Cara Bermain:
Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.
Menimang Bola
Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.
Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
sejarah dan asal usul sepak raga

Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Pada alaf ini, permainan sepak takraw adalah amat popular dan di kenali ramai, bukan sahaja di negara kita bahkan di negara-negara lain. Sepak takraw yang asalnya dikenali sebagai sepak raga lengkung atau kandang adalah permainan tradisi pusaka yang dimainkan oleh raja-raja melayu sejak sebelum tahun 1478 lagi. Asal-usul yang sebenarnya permainan ini tidak dapat diberikan kerana telah banyak sejarah termusnah akibat perang dunia kedua. Dengan berlalunya masa dan semakin meluas minat terhadap permainan ini diseluruh Malaya, maka pada akhir tahun 1945 satu peraturan baru lagi moden dengan menggunakan jaring telah diwujudkan oleh pemain-pemain di Pulau Pinang. Dengan terciptanya cara ini, maka tidak dinafikan lagi bahawa Pulau Pinanglah tempat asal bermulanya sepak raga menggunakan jaring yang kini dikenali sebagai sepak takraw.
Bagi mempamerkan buat pertama kalinya cara permainan yang baru ini, di atas usaha diantaranya En. Mohamed bin Abdul Rahman, En. Abdul Hamid Mydin dan En. Yacob Syed. Maka pada awal tahun 1946 satu permainan pertunjukkan diantara pasukan Jalan Hatin dan pasukan Patanai Road telah diadakan di Gelanggang Hospital Haiwan, Pulau Pinang dengan sambutan yang begitu meriah walaupun di anggap ganjil. Dari Pulau Pinang dan dalam tahun 1946 juga sepak raga jaring ini telah merebak ke Alor Star, ke Kampung Baru di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Singapura.
Sejak perkembangan tersebut pasukan demi pasukan telah ditubuhkan dan pada 25 Jun 1960 Persekutuan Sepak Raga Malaya telah dirasmikan di suatu persidangan yang dipelopori oleh Persatuan Sepak Raga Pulau Pinang. Persekutuan yang julung-julung kali di tubuhkan ini telah melantik Y. Bhg Tan Sri Khir Johari sebagai Yang Dipertua. Tindakan segera telah diambil oleh persekutuan tersebut ialah menggubal dan menyusun undang-undang sepak raga jaring yang ada pada masa itu oleh sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada wakil-wakil Setiausaha Agong PSM sekarang.
Asas dan cara bermain congkak
Permainan congkak secara asasnya melibatkan pengiraan mudah. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.
Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Papan congkak berbentuk sampan dan boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebanya 18 cm.
Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.
Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan.
Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".
Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa:
- Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
- Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.
- Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.
- Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.
- Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap 'terbakar'. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.
Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.
Sejarah dan asal usul congkak

permainan congkak dipercayai berasal daripada Negara Afrika atau Arab.Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM dijumpai di Jordan.
Dari Timur Tengah,permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupaan pusat perdagangan pada waktu dahulu.Kanak-kanak di Kepulauan Carubran juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai di sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia congkak dikenali dengan nama congklak,manakala di Filipina dikenali sebagai sungka.
Pada zaman dahulu,golongan istana bermainan congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia. Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet. Dalam laman-laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia.Di zaman teknologi ini Terdapat juga permainan congkak dalam talian yang telah dicipta.
Cara bermain gasing
Terdapat 4 langkah mudah untuk bermain gasing:-
1)Melilit tali
Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.
2)Memusing gasing
Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.
Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.
3)Memangkah gasing
Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.
4)Mengangkat gasing
Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.
Sejarah dan asal usul gasing

Asal Usul Perkataan Gasing
Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah tempat, buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba).
Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Dalam permainan buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.
Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur
Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan ‘laga telur ayam’. Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama.
Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang
Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran.